Hiburan Sabah

HSabah | Hiburan Sabah | Sabah Hiburan | Industri Muzik Sabah | Industri Hiburan Sabah | Lagu Sabah | Tempatan Sabah | Muzik Sabah

Connect With us

Juri Sugandoi Kaamatan dikecam netizen

Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan, Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun telah melabuhkan tirainya sejak 3 hari yang lepas. Sungguhpun keputusan muktamad telah diumumkan sebaik sahaja kesemua peserta selesai membuat persembahan pada 26 Mei lalu (Sabtu), namun, keputusan tersebut masih dipertikaikan. Perdebatan dan pendapat sesama netizen masih hangat diperdebatkan sehingga kini malah, isu penjurian kian dipersoalkan. 

Juri Sugandoi Kaamatan dikecam netizen
Juri Sugandoi Kaamatan dikecam netizen

Isu ini mula menjadi bualan ketika netizen menyaksikan pertandingan akhir Sugandoi 2018 melalui facebook (page Millenium Video Production) dan ia lebih hangat diperkat tatkala video perbandingan nyanyian persembahan diantara Fransisca Juingki (Johan Sugandoi Kaamatan 2018) dan Zarinie Shakira binti Zainal (peserta khir) yang dimuatnaik oleh seorang pengguna melalui media sosial facebook. Malah, isu penjurian ini sebenarnya hangat diperkata sejak pertandingan suku akhir lagi iaitu memilih peserta Top 20 yang akan bertanding dalam peringkat separuh akhir. Netizen menafikan dan berpendapat ada beberapa peserta lain yang jauh lebih hebat berbanding Melinda Painol yang merupakan peserta mewakili Kota Belud.

Sebaik sahaja pertandingan Sugandoi ini berakhir, banyak juri yang lahir bak pepatah mengatakan umpama "cendawan tumbuh selepas hujan". Ramai netizen mengambil bahagian untuk berhujah dan mengutarakan pendapat masing-masing sehingga ada yang menafikan dan mengalahkan pendapat juri -juri profesional yang diamanahkan pada malam pertandingan itu.  

Mengimbas kembali detik sejarah pertandingan akhri Sugandoi peringkat negeri Sabah, Fransisca Juingki telah dinobatkan sabagai johan dalam pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan 2018. Naib Johan pula dimenangi oleh Evana Hera yang mewakili daerah Ranau. Manakala tempat ketiga disandang oleh Gretchene Quirina, wakil daerah Inanam. 

Sementara itu, juri pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan, Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun 2018 diketuai oleh gundohing George Motuyon. Beliau turut dibantu oleh dua juri profesional lain iaitu Encik Adeson Matthew Mitty Gabu dan Puan Betsy Michael.

Sistem penjurian Sugandoi ini sememangnya adalah bersifat subjektif. Banyak faktor yang perlu dipertimbang dalam menentukan markah kepada peserta dan ia bukannya dinilai berdasarkan kualiti vokal si penyanyi semata-mata. Oleh itu, juri profesional punya pendapat tersendiri untuk sebulat suara memutuskan Fransisca Juingki dinobatkan sebagai johan. 

Sehubungan itu, hiburansabah.com berusaha untuk menghubungi Pengerusi Pelaksana Sugandoi Peringkat Negeri Sabah 2018 iaitu gundohing Evaristus Gungkit bagi mendapatkan penjelasan. Apa penjelasan yang bakal diberikan tersebut sama-samalah kita nantikan dengan penuh sabar. 

Segala perkembangan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.


Sumber:
1. Facebook.

Fransisca muncul juara Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018

PENAMPANG: Fransisca Juingki dinobatkan sabagai johan dalam pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan 2018 yang belangsung di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang, malam tadi. Beliau yang mewakili Klang Valley telah berjaya menewaskan 9 peserta yang lain dan sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM6,000 beserta piala dan sijil. Fransisca bukan sahaja dinobatkan sebagai Johan malah rezeki sememangnya berpihak kepadanya apabila diumumkan sebagai penerima anugerah persembahan terbaik dan penyanyi popular.

Juara Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018
Juara Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018

Naib Johan pula dimenangi oleh Evana Hera yang mewakili daerah Ranau. Manakala tempat ketiga disandang oleh Gretchene Quirina, wakil daerah Inanam. Pemenang naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM4,000 dan RM3,000. Hadiah diiring bersama-sama dengan piala dan sijil.

Sementara itu, adik Feli Stacy Paimin yang mewakili daerah Ranau dinobatkan sebagai johan Sugandoi Dazanak 2018. Naib johan disandang oleh adik Misnalia Muhimin yang mewakili daerah Telupid. Pemenang tempat ketiga disandang oleh adik Roddy Dezzly Roger. Roddy yang merupakan wakil daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bukan sahaja berjaya mendapat tempat ketiga, malah, beliau juga diumumkan sebagai penerima anugerah persembahan tebaik. Manakala, adik Thompson Thomas yang mewakili daerah Papar diumum sebagai penyanyi popular.

Kategori pertandingan akhir Sugandoi Songkotoun 2018, johan bagi kategori ini disandang oleh Encik Fabian Santos yang mewakili Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Naib johan dimenangi oleh Encik Lukas Gondungan, wakil daerah Tambunan. Tempat ketiga pula disandang oleh Puan Jelita Situil, yang mewakili daerah Penampang. Puan Jelita Situil yang merupakan satu-satunya wakil tunggal peserta wanita ini juga diumumkan sebagai penyanyi undian paling popular. Persembahan terbaik pertandingan Sugandoi Songkotoun 2018 dimenangi oleh Encik Fabian Santos.

Kesemua pemenang bagi johan Sugandoi Songkotoun dan Sugandoi Dazanak 2018 menerima hadiah berupa wang tunai RM1,500. Naib johan dan tempat ketiga menerima hadiah wang tunai masing-masing berjumlah RM1,000 dan RM800. Selain wang tunai, kesemua pemenang juga membawa pulang hadiah iringan iaitu piala dan sijil.

Juri pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan, Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun 2018 diketuai oleh gundohing George Motuyon. Beliau turut dibantu oleh dua juri profesional lain iaitu Encik Adeson Matthew Mitty Gabu dan Puan Betsy Michael.

Sementara menunggu juri mencongak keputusan, para penonton turut dihiburkan dengan perembahan tarian yang cukup memukau oleh penari daripada Sekolah Rendah Kiawayan, Tambunan dan persembahan nyanyian oleh Jacinca Faye iaitu bekas juara Sugandoi Kaamatan tahun 2017.

Sumber:
1. Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan, Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun 2018 (secara langsung dari Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang) 

Sesi lawatan peserta akhir Sugandoi ke Jabatan Penyiaran Sabah

KOTA KINABALU: Satu sesi lawatan rombongan 10 peserta akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri sabah 2018 ke Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah yang terletak di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah dijalankan, semalam (Khamis). Rombongan ini diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sugandoi negeri Sabah, gundohing Evaristus Gungkit dan disertai bebrapa ahli jawatankuasa yang lain.

Lawatan amal oleh peserta akhir Sugandoi Kaamatan 2018
Lawatan amal oleh peserta akhir Sugandoi Kaamatan 2018

Objektif lawatan adalah untuk memberikan kefahaman dan pendedahan umum kepada peserta mengenai bidang penyiaran khasnya di Sabah dan Malaysia umumnya. Sementara itu, peserta juga menjalani sesi temuramah secara langsung berkaitan Sugandoi melalui siaran radio.

Lawatan amal oleh peserta akhir Sugandoi Kaamatan 2018
Lawatan amal oleh peserta akhir Sugandoi Kaamatan 2018

Para peserta juga berkesempatan untuk melawat pejabat Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang dijadualkan pada pukul 2:00 petang. Tujuan lawatan adalah untuk memberi sokongan padau kepada 7 orang peserta akhir Sugandoi Dazanak negeri yang sedang giat berlatih di LKNS bersama-sama dengan kugiran pengiring yang kesemua pemain muziknya adalah kalangan wanita.

Lawatan amal oleh peserta akhir Sugandoi Kaamatan 2018
Lawatan amal oleh peserta akhir Sugandoi Kaamatan 2018

Sementara itu, kesemua peserta akhir Sugandoi Kaamatan, Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun menjalani sesi latihan seperti biasa dan raptai penuh dijangka akan diadakan pada pukul 7:00 malam, hari ini (Jumaat) bertempat di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang.


Sumber:
1. Bidut @Bede ~ Ahli Jawatankuasa Pelaksana |SUgandoi Peringkat Negeri Sabah 2018
2. Ronney Bikin Panas ~ Ahli Jawatankuasa Pelaksana |SUgandoi Peringkat Negeri Sabah 2018

Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah, 26 Mei ini

PENAMPANG: Penonton sekali lagi menyaksikan kemantapan persembahan yang ditunjukkan oleh kesemua 20 orang peserta Sugandoi Kaamatan dalam peringkat separuh akhir yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang, malam tadi.

Kesemua peserta masing-masing mengeluarkan sengatan bisa, memikat hati juri untuk melayakkan diri dalam senarai 10 peserta akhir Sugandoi Kaamatan yang dijadualkan berentap pada 26 Mei (Sabtu), jam 7:00 malam. Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan ini akan berlangsung di tempat yang sama iaitu di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang.

Top 10 peserta akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018
Top 10 peserta akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018

Keputusan rasmi senarai 10 orang peserta akhir Sugandoi Kaamatan peringkat Negeri Sabah menyaksikan peserta Michelle Michoel mewakili Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendahului senarai peserta akhir tersebut. Kemudian diikuti oleh Fransisca Juingki, peserta mewakili Klang Valley, Terence Asangki (Likas), Mackdovell Lester Maris (Kepayan), Zurina Tongkooh (Wilayah Persekutuan Labuan), Gretchene Quirina (Inanam), Zarinie Shakira binti Zainal (Libaran), Melinda Painol (Kota Belud), Evana Hera (Ranau) dan Terence Woritus (Penampang).

Artikel terkait: 20 calon juara Sugandoi Kaamatan berentap dalam peringkat separuh akhir 23 Mei ini

Barisan juri pertandingan separuh akhir Sugandoi Kaamatan masih yang diketuai oleh Encik George Motuyon. Beliau dibantu oleh dua juri lain iaitu Encik Adeson Matthew Mitty Gabu dan Puan Betsy Michael.

Sementara menunggu pengiraan markah dicongak, para penonton dihibur oleh nyanyian persembahan oleh pengerusi pelaksana Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018 iaitu gundohing Evaristus Gungkit, yang juga merupakan mantan Juara Sugandoi Kaamatan pada tahun 1991.

Sugandoi Dazanak & Sugandoi Songkotoun

Pertandingan separuh akhir bagi Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun telah dijalankan pada 20 Mei (Ahad) lalu. Seramai 7 orang peserta Sugandoi Dazanak dan 5 orang peserta Sugandoi Songkotoun telah dipilih untuk berentap dalam peringkat akhir.


Peserta-peserta finalis Sugandoi Songkotoun peringkat negeri Sabah 2018 adalah Fabian Santos, Lukas Gondungan, Jelita Situil, Bernard Bakanjim dan Jonis Mantahan. Manakala finalis Sugandoi Dazanak adalah Ain Fariesha Azamain, Misnalia Muhimin, Feli Stacy Paimin, Beyona Eva Bisoni, Thompson Thomas, Chelsie Bong Pui Kei dan Roddy Dezzly Roger.

Hadiah

Johan Sugandoi Kaamatan akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM6,000 beserta piala dan sijil penghargaan. Naib Johan akan menerima wang tunai RM4,000. Manakala, tempat ketiga akan menerima hadiah wang tunai RM3,000. Selain wang tunai pemenang Naib Johan dan tempat ketiga juga masing-masing menerima piala dan sijil penyertaan.

Baca: Original Sabahan nyanyian Atmosfera ft. Floor 88 bantu promosi Sabah

Sementara itu, Johan Sugandoi Songkotoun dan Sugandoi Dazanak 2018 bakal menerima hadiah berupa wang tunai RM1,500. Naib Johan dan tempat ketiga bakal menerima hadiah wang tunai masing-masing RM1,000 dan RM800. Selain wang tunai, kesemua pemenang juga bakal membawa pulang piala dan sijil.

Sehubungan itu, masyarakat Sabahan diseru untuk sama-sama memeriahkan lagu Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan, Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun 2018 yang dijadualkan pada 26 Mei 2018 (Sabtu) ini. Pertandingan ini juga boleh disaksikan secara live streaming melalui page Milenium Video Production (Facebook).


Sumber:
1. Pertandingan Separuh Akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018 (23 Mei 2018)

20 calon juara Sugandoi Kaamatan berentap dalam peringkat separuh akhir 23 Mei ini

PENAMPANG: Persembahan yang cukup memukau telah dipersembahkan oleh kesemua 45 calon juara dalam pertandingan Suku Akhir Sugandoi Kaamatan negeri Sabah 2018, malam tadi. Namun, hanya 20 orang peserta sahaja yang akan dipilih untuk terus mara ke peringkat seterusnya.
Evaristus pesan supaya peserta Sugandoi Kaamatan jaga kesihatan
Kesemua 20 calon juara Sugandoi Kaamatan ini bakal berentap dalam peringkat Separuh Akhir  yang dijadualkan pada 23 Mei (Rabu), bermula jam 7:00 malam di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang.

Credit picture to: Freddie Anthony Jacob
Top 20 peserta Separuh Akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018
Top 20 peserta Separuh Akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018

Senarai 20 calon juara yang layak bertanding dalam peringkat Separuh Akhir adalah Gretchene Quirina (Inanam); Christopher Adrian Winces (Kemabong); (Ray Asmadin (Kinabatangan); Bens Hayden (Tamparuli); Rushdy Kudy Rapheal (Tenom); Eric Noel (Tuaran); Mc Kenna Godie Gusting (Kota Marudu); Fazilah Etar (Paitan); Daryl Wesmin (Johor); Ryna Tongkooh (Wilayah Persekutuan Labuan); Fransisca Juingki (Klang Valley); Zarinie Shakira Zainal (Libaran); Michelle Michael Labanjun (DBKK); Evana Left Hera Balinti (Ranau); Dynna Leong (Papar); Lana Lana (Keningau); Terence Renss Azz (Likas); Melinda Painol (Kota Belud); Mackdowell Lester Maris (Kepaayan) dan Terence Woritus Paulus (Penampang)

Sementara itu, En. George Motuyon bertindak selaku ketua juri pertandingan Suku Akhir Sugandoi Kaamatan negeri Sabah 2018. Beliau dibantu oleh dua juri lain iaitu Adeson Matthew Mitty Gabu dan Betsy Michael.
Original Sabahan nyanyian Atmosfera ft. Floor 88 bantu promosi Sabah
Johan Sugandoi Kaamatan akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM6,000 beserta piala dan sijil penghargaan. Naib Johan akan menerima wang tunai RM4,000. Manakala, tempat ketiga akan menerima hadiah wang tunai RM3,000. Selain wang tunai pemenang Naib Johan dan tempat ketiga juga masing-masing menerima piala dan sijil penyertaan.

Pertandingan separuh akhir bagi Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun telah dijalankan pada 20 Mei (Ahad) lalu. Seramai 7 orang peserta Sugandoi Dazanak dan 5 orang peserta Sugandoi Songkotoun telah dipilih untuk berentap dalam pertandingan akhir yang dijadualkan pada 26 Mei (Sabtu) ini.

Sumber:
1. Suku Akhir Sugandoi Kaamatan negeri Sabah 2018 (22 Mei 2018)
2. Freddie Anthony Jacob (Gambar Top 20)

Evaristus pesan supaya peserta Sugandoi Kaamatan jaga kesihatan

PENAMPANG: Episod Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018 memulakan tirainya semalam (Isnin). Seramai 45 orang peserta yang merupakan juara di peringkat daerah (wakil daerah) hadir di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang untuk sesi pendaftaran yang bermula seawal jam 8:00. Kesemua calon juara juga telah memulakan sesi latihan yang dijadualkan bermula jam 9:00 pagi.

AJK Pelaksana bersama 45 Calon Juara Sugandoi Kaamatan 2018
AJK Pelaksana bersama 45 Calon Juara Sugandoi Kaamatan 2018

Pengerusi pelaksana Sugandoi peringkat negeri Sabah, Gundohing Evaristus Gungkit mengalu-alukan kedatangan dan menyeru agar semua peserta Sugandoi Kaamatan untuk bertanding secara sihat dan mengutamakan penjagaan kesihatan.

"Saya ingin tegaskan supaya semua peserta hendaklah menjaga kesihatan. Jawatankuasa pelaksana tidak mahu perkara seperti tahun lepas berulang kembali yang mana ada peserta tidak dapat membuat persembahan sebaik mungkin disebabkan oleh penjagaan kesihatan yang kurang khususnya daripada segi pejagaan suara.

"Semua peserta juga hendaklah mematuhi disiplin disamping, membudayakan persaingan secara sihat."

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat kepada semua calon juara Sugandoi Kaamatan 2018 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang, semalam.

Pertandingan Suku Akhir Sugandoi Kaamatan peringkat negeri Sabah 2018 dijadualkan pada 22 Mei, jam 6:30 petang bertempat di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang.

Sementara itu, pertandingan akhir bagi Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun telah dijalankan pada 20 Mei (Ahad) lalu. Seramai 7 orang peserta Sugandoi Dazanak dan 5 orang peserta Sugandoi Songkotoun telah dipilih untuk berentap dalam pertandingan akhir yang dijadualkan pada 26 Mei (Sabtu) ini.

Peserta-peserta finalis Sugandoi Songkotoun peringkat negeri Sabah 2018 adalah Fabian Santos, Lukas Gondungan, Jelita Situil, Bernard Bakanjim dan Jonis Mantahan. Manakala finalis Sugandoi Dazanak adalah Ain Fariesha Azamain, Misnalia Muhimin, Feli Stacy Paimin, Beyona Eva Bisoni, Thompson Thomas, Chelsie Bong Pui Kei dan Roddy Dezzly Roger.


Sumber:
1. Sesi taklimat oleh Gundohing Evaristus Gungkit, Pengerusi Pelaksana Sugandoi Peringkat Negeri Sabah 2018.

Original Sabahan nyanyian Atmosfera ft. Floor 88 bantu promosi Sabah

Single baharu gandingan Atmosfera dan Floor 88 mulai trending dan menjadi siulan khusus oleh peminat kedua-dua artis berkumpulan ketika ini. Menurut Hezron (Atmosfera), sungguhpun video (Original Music Video) dimuat naik sejak satu (1) minggu lepas namun, lagu yang bertajuk Original Sabahan ini telah mencecah sekurang-kurangnya 1 juta (views) yang menonton video tersebut melalui YouTube.

"Syukur! Lagu-lagu kami masih diterima oleh para pendengar di luar sana. Lagu Original Sabahan mencecah views sebanyak 1 juta hanya dalam masa seminggu. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah menonton single baru kami ini, khususnya peminat dan penyokong yang sentiasa menyokong Atmosfera dan Floor 88,"

Beliau (Hezron) berkata demikian ketika dihubungi oleh hiburansabah.com, semalam.

Atmosfera ft. Floor 88 ~ Original Sabahan
Atmosfera ft. Floor 88 ~ Original Sabahan 

Lirik dan lagu Original Sabahan merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Hezron Atmosfera. Lagu ini sememangnya memaparkan lokasi bukan hanya di tempat asal atau kelahiran dua beradik Hezron dan Hazrenol (mesra dipanggil Ganak) iaitu di Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau. Namun, video lagu ini sebenarnya sedikit sebanyak mempromosi tarian Sumazau (etnik Kadazandusun) serta mempromosi negeri Sabah secara keseluruhannya. Video jelas memaparkan lokasi Gunung Kinabalu; Kundasang; Sungai Pegalan, Keningau; Bulatan Ikan Todak, Kota Kinabalu; Pantai Manis, Papar, Pasar Keningau dan Pasar Filipin (Kota Kinabalu).

Bahasa yang ditampilkan melalui lirik lagu ini adalah bahasa Dusun (etnik Dusun Keningau) serta loghat (slang) / aksen (accent) bahasa Sabahan itu sendiri. Melalui lirik lagu, ia jelas mencirikan budaya etnik Dusun dan Sabahan secara keseluruhannya. Manakala, rentak lagu adalah rentak Sumazau.

Ditanya kenapa memilih band Floor 88 untuk sama-sama berkolobarasi dalam menjayakan single ini, Hezron menjelaskan bahawa vokalis Floor 88 (Nik Fadlee Elhamshah) juga berasal dari Sabah.

"Oleh kerana tajuk lagu ini ialah Original Sabahan maka Atmosfera selesa memilih band Floor 88 kerana vokalisnya juga berasal dari Sabah. Disamping, Ayie (nama samaran Nik Fadlee) mempunyai mutu suara yang hebat. Power gila suara ayie!," jelasnya.

Video kolaborasi Atmosfera dan band Floor 88 yang bertajuk Original Sabah ini boleh ditonton melalui YouTube ini Atmosfera ft. Floor 88 Original Sabahan [Original Music Video].


Sumber:

1. Hezron Rayner (Atmosfera)

Konsert Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA 2018

PENAMPANG: Konsert Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA 2018 akan diadakan pada 19 Mei 2018 (Sabtu), jam 7:00 malam bertempat di Dewan Hongkod Koisaan KDCA (Kadazandusun Cultural Association) Penampang.

Terdahulu Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan KDCA memperkenal Anugerah Lagu KDCA. Anugerah ini akan memberi penghargaan kepada artis-artis tempatan KDM Sabah. Pada tahun ini, penghargaan Anugerah Lagu KDCA tidak lagi dilaksanakan namun, ia diganti kepada Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA.

Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA 2018
Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA 2018

Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA yang julung kali dianjurkan ini dibuat bukan sahaja untuk menghargai bakat malah, ia bertujuan menggalakkan pengkarya tempatan untuk terus berkarya dalam menghasilkan lagu-lagu Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang berkualiti. Galakan ini secara langsung mahupun tidak akan menambahkan jumlah koleksi lagu KDM untuk diperdengar kepada masyarakat Sabah sendiri. Dalam erti kata lain, lagu baru KDM itu sentiasa ada. Disamping itu, Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA ini juga bertujuan untuk mengetengahkan bakat baru dan seterusnya memperkenal sang pencipta lagu tersebut.

Mengulas lanjut mengenai Anugerah Juara Lagu KDCA yang dianjurkan pada tahun-tahun sebelumnya, Encik Evaristus Gungkit selaku Pengerusi Sugandoi memaklumkan bahawa penganjuran Anugerah Juara Lagu KDCA sebelum ini memberikan anugerah penghargaan khusus kepada penyanyi tempatan.

"Anugerah Lagu KDCA yang telah dianjurkan pada tahun-tahun sebelum ini merupakan anugerah yang memberi penghargaan kepada artis tempatan Sabah. Namun begitu, ada segelintir pihak yang tidak memahami konsep penghargaan yang dibuat ini. Sekiranya seseorang artis itu telah diberi anugerah pada tahun 2016, maka, artis tersebut tidak akan diberi penghargaan pada tahun berikutnya kerana pihak KDCA ingin memberi peluang kepada artis yang lain pula
Artikel Berkaitan: Dynna Juara Baru Sugandoi Papar 2018
"Tahun ini Anugerah Lagu KDCA telah diubah kepada Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA . Sebanyak 3 kategori yang dipertandingkan iaitu kategori lagu bahasa Kadazan, lagu bahasa Dusun dan lagu bahasa Murut. Menariknya dalam Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA ini, kesemua calon perlu menyanyikan lagu masing-masing secara live." Beliau berkata sedemikian dalam satu sidang media yang diadakan di Hongkod Koisaan KDCA, semalam (Isnin).

Juara Lagu (Kadazan, Dusun dan Murut) masing-masing bakal memenangi hadiah berupa wang bernilai RM5,000. Manakala, 3 kategori anugerah lain yang menjadi rebutan adalah Lirik Terbaik (setiap kategori), Vokal Terbaik serta Persembahan Terbaik. Anugerah Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik ini akan dinilai secara keseluruhan untuk 3 kategori tersebut semasa pertandingan itu nanti.

Hiburansabah.com difahamkan, Majlis Anugerah Juara Lagu Huguan Siou KDCA bakal dirasmikan oleh Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Pengerusi Sugandoi menyeru semua masyarakat Sabah, khususnya kepada penggiat dan peminat muzik tempatan Sabah untuk turut serta dalam menjayakan majlis ini.

Calon Juara Lagu

Kategori Lagu Dusun

1. Boros Nu Di Tohuri Noh - Benn Simon Bukag / S.Welly
    Lagu : Benn Simon Bukag
    Lirik : Benn Simon Bukag

2. Sopirosi-Rosi - Ridah Malanjang
    Lagu : Peter Peninting
    Lirik : Peter Peninting

3. Id Pagandadan - Fabian William
    Lagu : Fabian William
    Lirik : Fabian William

4. Kakal Poinggirot - Gedion Hilarius
    Lagu : Bernard L. Michael / Wolney
    Lirik : Bernard L. Michael / Gedion Hilarius

5. Ponindualan Nu Montok Dogo - Frederick Julius
    Lagu : Frederick Julius
    Lirik : Frederick Julius

Kategori Lagu Kadazan

1. Poingompiku - Rosario Bianis
    Lagu : Minami Anduini
    Lirik : Minami Anduini

2. Pitongkizadan - Cathy Woritus
    Lagu : Bobby Patrick
    Lirik : Rollis Mitol

3. Guminavo Zou Diau - Stephen Masil
    Lagu : Stephen Masil
    Lirik : Stephen Masil

4. Iziau Nodaa - Joseph George 
    Lagu : Joseph George 
    Lirik : Joseph George

5. Hangadku Tomoimo - Anna Stanislaus
    Lagu : Anna Stanislaus
    Lirik : Anna Stanislaus

Kategori Lagu Murut

1. Umie - Maxcius Gayah
    Lagu : Maxcius Gayah & Edie Andayol
    Lirik : Maxcius Gayah & Edie Andayol

2. Kando Amuandung Rakon - Jordan Jubilin
    Lagu : Charlie Tay
    Lirik : Alal @Herman Rukinit Rumpi

3. Pangkaraan Ku Diun - Keydeet Jake
    Lagu : Keydeet Jake
    Lirik : Ronnie Bahan / Keydeet Jake

4. Nahambayan Nangivit Ra Pansuayan - Sharin Amud Shapri
    Lagu : Sharin Amud Shapri
    Lirik : Sharin Amud Shapri

5. Asie Mu Ina - Abby Suehaiveey Abir
    Lagu : Masrani Tumas & Dinna Libou
    Lirik : Masrani Tumas & Dinna Libou


Sumber: 

1. Sidang Akhbar Jawatankuasa Pelaksana Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2018
2. Jawatankuasa Jawatankuasa Pelaksana Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2018

20 finalis Unduk Ngadau Papar bakal berentap 5 Mei ini

PAPAR: Majlis Malam Gala Unduk Ngadau dan pertandingan akhir Sugandoi Papar 2018 yang diadakan pada 2 Mei (Rabu) lalu, bertempat di Dewan Masyarakat Papar menyaksikan penampilan esklusif calon pemenang Unduk Ngadau daerah Papar tahun ini.


Sodop Pintutunan Unduk Ngadau Kaamatan Uvang Papar 2018
Sodop Pintutunan Unduk Ngadau Kaamatan Uvang Papar 2018

Majlis Sodop Pintutunan Unduk Ngadau Kaamatan Uvang Papar 2018 menyaksikan Maria Tatiomiss Guntingan dinobat sebagai Miss Popular; Miss Popular Facebook, Avy Marian Peter. Manakala, Isabelle dinobat Bazad-Bazad Osuau. Bazad-Bazad Koubasanan disandang oleh Angie Elsie, Allysa Jimeh menerima hadiah sebagai pemenang Best Dress dan Merill Avilia pula merupakan pemenang Bazad-Bazad Osongon.

Sementara itu, Encik Severinus Alexius Nain merupakan Ketua Juri Sodop Pintutunan Unduk Ngadau Kaamatan Uvang Papar 2018. Beliau dibantu oleh 2 juri lain iaitu Encik Bobby Brian Garon dan Puan Suzanne Dennis.


Pengerusi jawatankuasa Unduk Ngadau Papar, Puan Alice Thomas, berkata sesi pencarian dan pemilihan finalis Unduk Ngadau peringkat daerah Papar telah diadakan sejak 22 April lalu bertempat di Pejabat KDCA Papar, Benoni Commercial Center, Papar.

"Seramai 20 orang penyertaan yang telah diterima oleh jawatankuasa semasa sesi pendaftaran dan pemilihan. Kesemua peserta telah mengambil bahagian dan membuat penampilan esklusif dalam Majlis Sodop Pintutunan Unduk Ngadau Kaamatan Uvang Papar 2018 pada 2 Mei, Rabu lalu. Menariknya kesemua 20 peserta tersebut diserap untuk bertanding dalam peringkat akhir.

"Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan yang melibatkan peserta Unduk Ngadau Papar 2018 antaranya adalah bengkel yang telah diadakan pada 29 April. Bengkel ini memberikan tumpuan khusus tentang topik yang dandanan dan kecantikan. Disamping, memberikan pendedahan kepada peserta tentang makanan dan masakan tradisi seperti membuat pinompol dan hiningazang. Para peserta juga diberi pendedahan magagun dan monompi vagas. Selain itu, satu lawatan amal ke Purak Old Folks Home juga telah diadakan pada 1 Mei. Lawatan adalah bertujuan untuk menyampaikan sumbangan disamping, persembahan oleh bakal calon pemenang Unduk Ngadau Papar 2018," katanya ketika dihubung oleh hiburansabah.com.


Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Papar 2018 serta pemilihan Unduk Ngadau Kaamatan Papar bakal dirasmikan oleh YBhg Datuk Seri Panglima Hj. Abdul Rahim Ismail, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah pada 5 Mei (Sabtu) bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Biau, Papar.

Ketahui info mengenai arena Hiburan & Muzik Sabah melalui portal HIBURANSABAH.COM

Sumber:

1. Puan Alice Thomas ~ Pengerusi Unduk Ngadau daerah Papar 2018.

Dynna Juara baru Sugandoi Papar 2018

PAPAR: Dynna Robert Leong dinobatkan sebagai Juara Sugandoi daerah Papar tahun 2018. Beliau yang menewaskan 4 orang lagi peserta akhir yang lain sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000 beserta piala dan sijil. Pertandingan akhir Sygandpi Papar 2018 telah berlangsung di Dewan Masyarakat Papar, semalam.


Dynna Juara baru Sugandoi Papar 2018
Dynna Juara baru Sugandoi Papar 2018

Dynna Robert Leong yang merupakan juara baru Sugandoi Papar 2018 akan mewakili daerah Papar ke Sugandoi Kaamatan KDCA peringkat negeri Sabah 2018 yang dijadualkan pendaftaran pada 21 Mei (Isnin).

Naib Juara pula dimenangi oleh Reen Abigail Carol, beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM700 beserta piala dan sijil. Tempat Ketiga pula dimenangi oleh Jeto Juna yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500 beserta piala dan sijil. Manakala, Dona Padilis dan Scolastica Ann Bonniface merupakan pemenang saguhati. Kedua-dua menerima hadiah wang tunai RM200 beserta piala dan sijil.


Sugandoi Dazanak & Sugandoi terbuka Kaamatan Papar 2018
Sugandoi Dazanak & Sugandoi terbuka Kaamatan Papar 2018

Sementara itu, pertandingan akhir Sugandoi Dazanak 2018 yang julung-julung kali diadakan di peringkat daerah Papar telah dimenangi oleh Thompson Thomas. Adik Thompson menerima hadiah berupa wang tunai RM 500 beserta piala dan sijil. Naib Juara dimenangi oleh Nur Ain Zanirah Charles, menerima hadiah berupa wang tunai RM 300 beserta piala dan sijil.


Pemenang Sugandoi Dazanak Papar 2018
Pemenang Sugandoi Dazanak Papar 2018

Tempat Ketiga pula dimenangi oleh Magdeline Viviyana Melvin. Adik Magdeline menerima hadiah berupa wang tunai RM 200, piala dan sijil. Pemenang saguhati pula dimenangi oleh Benardo Heavenly Clifferson, Isabel Omaro, Jacynta Joerebore dan Serena Ann Wong. Kesemua pemenang saguhati menerima hadiah berupa wang tunai RM 100 beserta piala dan sijil.

Ketahui Info hiburan dan muzik di Sabah melalui Portal Hiburansabah

Juara, Naib Juara dan Ketiga Sugandoi Dazanak 2018 akan mewakili daerah Papar ke Sugandoi Dazanak KDCA peringkat negeri Sabah 2018.

Juri sugandoi diketuai oleh Adsone Matthew Mitty Gabu. Beliau dibantu oleh dua juri lain iaitu Cosmas Chin dan Romeo Jaibot.

Selain pertandingan akhir Sugandoi Papar 2018, acara malam tersebut juga menyaksikan penampilan esklusif oleh peserta Unduk Ngadau dalam Majlis Malam Gala Unduk Ngadau dan pertandingan akhir Sugandoi Papar 2018 yang dirasmikan oleh YB Datuk Rosnah binti Haji Abdul Rashid Shirlin.


Sumber:

1.  Presley Petrus - Ahli Jawatankuasa Sugandoi Papar 2018

Sitipah muncul sebagai Johan Papar Idol 2018

PAPAR: Sitipah Jahamin dinobatkan sebagai Johan Papar Idol 2018 sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000 beserta sijil dan hamper selepas bersaing dengan 18 peserta lain semasa pertandingan akhir Papar Idol 2018 yang berlangsung di Kampung Titimboungon, Papar Sabah, jam 6:00 petang, semalam.

Pemenang-pemenang Hadiah Papar Idol 2018
Pemenang-pemenang Hadiah Papar Idol 2018

Sitipah yang berasal dari Ranau ini bukan sahaja muncul sebagai Johan keseluruhan tetapi beliau juga turut diumumkan sebagai peserta Vokal Terbaik. Naib Johan pula disandang oleh Chrispine Joseph Phan Buyai yang berasal dari Penampang. Chrispine menerima hadiah berupa wang tunai RM800 beserta sijil dan hamper. Manakala, Ndry Anjun yang berasal dari Kiulu merupakan pemenang tempat Ketiga, beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500 beserta sijil beserta hamper.

Sementara itu, Roziah Saban yang berasal dari Beaufort menerima hadiah persembahan terbaik, Azzah Rosli (Papar) merupakan penyanyi terbaik dan Rosalind Gitrus (Papar) mendapat hadiah penyanyi popular.

Peserta akhir Papar Idol 2018
Peserta akhir Papar Idol 2018

Pencarian Papar Idol 2018 yang berakhir pada 22 April ini telah menerima sebanyak 81 penyertaan, namun, hanya 20 orang peserta sahaja yang dipilih untuk berentap dalam peringkat akhir dan telah diumumkan pada 24 April.

"Tujuan pertandingan Papar Idol diadakan adalah untuk mengetengahkan bakat-bakat yang terpendam dalam bidang nyanyian kalangan generasi muda sekali gus memupuk budaya kekitaan dan saling bekerjasama melalui penganjuran progrtam ini, Saya percaya malam yang gilang gemilang ini tidak berjaya jika tidak ada kerja sama serta permuafakatan diantara pihak penganjur dan mereka yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Papar Idol 2018 ini," kata YB Datuk Rosnah binti Haji Abdul Rashid Shirlin ketika merasmikan program ini.

Sehubungan itu, pertandingan Papar Idol ini bakal dianjurkan lagi pada tahun 2019. 

Hiburansabah.com mengucapkan tahniah kepada semua pemenang!


Sumber:

1. 1.  Joel A. Nandu Mansuba - Dumangan, Ahli Jawatankuasa Papar Idol 2018.

Malam Gala Unduk Ngadau dan pertandingan akhir Sugandoi Papar 2018


Penonton yang hadir sudah semestinya menantikan kemunculan peserta Unduk Ngadau tahun 2018. Hiburansabah.com difahamkan seramai 20 jelitawan merupakan calon yang bakal dinobatkan sebagai Unduk Ngadau 2018 pada 5 Mei (Sabtu) ini.

Disamping penampilan esklusif oleh peserta Unduk Ngadau dalam Majlis Malam Gala Unduk Ngadau ini, para penonton juga bakal menyaksikan Pertandingan akhir Sugandoi peringkat daerah Papar. Pada musim ini, pertandingan Sugandoi daerah Papar didominasi oleh kaum wanita. Satu-satunya peserta lelaki yang akan berentap bersama-sama dengan 4 peserta wanita lain untuk merebut gelaran johan Sugandoi 2018 dijadualkan bermula jam 7:00 malam.

Peserta akhir Sugandoi daerah Papar 2018
5 peserta akhir Pertandingan Sugandoi Papar 2018

Pertandingan Separuh Akhir Sugandoi telah diadakan pada 29 April (Ahad) lalu. Kesemua 15 peserta telah mempersembahn dan memberikan persembahan yang cukup sengit namun, hanya 5 peserta yang dipilih untuk berentap dalam peringkat akhir Sugandoi daerah Papar 2018. 5 peserta akhir tersebut adalah Dona Padilis, Scolastica Ann Bonnieface, Reen Abigail Carol, Jeto Junas dan Dynna Robert Leong.

Sementara itu, Majlis Malam Gala Unduk Ngadau dan pertandingan akhir Sugandoi Papar 2018 ini bakal dirasmikan oleh YB Datuk Rosnah binti Haji Abdul Rashid Shirlin.

Sehubungan itu, pihak penganjur mengalu-alukan kehadiran semua penduduk daerah Papar untuk sama-sama memeriahkan lagi acara ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai yang ingin mendapatkan tiket masuk Majlis Malam Gala dan Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan daerah Papar 2018 bolehlah menghubungi En. Petrus Martin melalui panggilan telefon di talian 013-8704556.


Sumber:

1. Presley Petrus ~ Ahli Jawatankuasa Sugandoi Papar 2018

Featured post

Mikrofon Kondenser mampu milik (Ansuran Bulanan RM25.70)

Minat menyanyi? Sering menyanyi dalam aplikasi Smule dan YouTube? Atau suka membuat Live melalui aplikasi Instagram mahupun Facebook? Anda...

Back To Top