Hiburan Sabah

HSabah | Hiburan Sabah | Sabah Hiburan | Industri Muzik Sabah | Industri Hiburan Sabah | Lagu Sabah | Tempatan Sabah | Muzik Sabah

Peneraju Kepimpinan PERTISA Sesi 2017/2018

Saya berharap penaraju baharu yang akan dipilih dalam AGM 2017 ini lebih mantap dan lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan kita sebagai artis tempatan Sabah. Saya juga berharap agar semua golongan artis tidak mengira bangsa, agama dan budaya, marilah kita bersama-sama memperkasa karya-karya kita di bawah naungan Persatuan Artis Tempatan Sabah PERTISA. 
~En. Narsisius Justin Misin, Mantan Presiden PERTISA 

PERTISA adalah  singkatan bagi 'Persatuan Artis Tempatan Sabah. PERTISA merupakan persatuan artis yang paling lama dan paling aktif di Sabah dan bukan sahaja dikenali oleh orang-orang Sabah bahkan orang luar seperti dari Semenanjung, Sarawak dan Brunei.

Majlis Tertinggi PERTISA Sesi 2017/2018
Majlis Tertinggi PERTISA Sesi 2017/2018

PERTISA sekali lagi melakar sejarah dengan mengadakan pemilihan dan pelantikan Ahli Jawatankuasa Sesi 2017-2018 PERTISA. Pemilihan dan pelantikan ini telah diadakan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA) pada Sabtu, 11 Mac 2017 bertempat di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Sabah. 

Ahli Majlis Tertinggi PERTISA Sesi 2017 - 2018

Ahli Majlis Tertinggi PERTISA Sesi 2017-2018 adalah seperti dalam gambar berikut:

Ahli Jawatankuasa PERTISA 2017/2018
Ahli Majlis Tertinggi PERTISA 2017/2018
Satu Mesyuarat PERTISA akan diadakan dalam masa terdekat untuk melantik sembilan (9) AJK Kecil lain untuk melengkapkan senarai Ahli Jawatankuasa PERTISA sesi 2017/2018 masih belum lengkap buat masa ini.

Matlamat PERTISA

  • Membantu kerajaan negeri Sabah untuk mempromosi kebudayaan dan kesenian tempatan kepada para pelancong dalam dan luar negeri. 
  • Memastikan kesinambungan khazanah seni muzik dan menggalakkan pertumbuhan industri muzik tempatan khasnya di negeri Sabah and amnya di seluruh negara secara sihat
  • Menjaga hak asasi dan kebajikan para artis tempatan
  • Memberi khidmat nasihat khususnya yang berkaitan dengan prosedur penerbitan album dan sebagainya.
  • Menggalakkan dan meningkatkan mutu ciptaan karya-karya seni tempatan.

Keahlian

  • Terbuka kepada semua artis tempatan Sabah, warganegara Malaysia yang bermastatutin di Sabah lebih daripada 10 tahun dan berumur 18 tahun ke atas.
  • Terlibat secara langsung dalam industri hiburan dan muzik.
  • Pengkhususan dalam bidang seni: penyanyi, pelakon, penerbit lagu / album, penggubah lagu, pelawak, penulis lirik, juruhebah radio, juruadun suara, pemain alat muzik moden / tradisional, penari dan mereka yang tergolong di dalam kategori artis.
  • Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi ahli PERTISA boleh menghubungi PERTISA untuk keterangan lanjut. (Atau hubungi Majlis Tertinggi [Keahlian]: En. James Sami)

Sejarah Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA)

Idea untuk menggabungkan semua artis di negeri ini sememangnya telah wujud. Namun disebabkan tiada tindakan pada waktu itu, maka hasrat untuk merealisasikan penubuhan persatuan ini masih sekadar impian. Tindakan serius hanya bermula apabila LP Ally Raphiel Pinus, seorang penyanyi yang bertugas sebagai Sub Editor ruangan Bahasa Kadazandusun di akhbar New Sabah Times dan aktif menulis artikel berkaitan hiburan tempatan telah mendapat maklum balas positif daripada artis-artis tempatan yang ditemuramahnya mengenai perkara itu.

Setelah menerima pelbagai pandangan dan dorongan atas keinginan menubuhkan persatuan itu (antaranya daripada rakan penggiat seni teater, Datu' Ruslan Sulai), pada April 2002, LP telah menghubungi penyanyi yang juga pemilik Studio Beberly Universal Music (BUMC) Record, Hyelarry@Tommy Sembeh untuk bertemu bagi membincangkan penubuhan persatuan berkenaan.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah seorang penggiat seni, Ariffin Gata. Susulan daripada pertemuan itu, mereka telah merangka draf (termasuk undang-undang) penubuhan persatuan seterusnya memutuskan untuk memanggil beberapa penyanyi dan penerbit album untuk pertemuan selanjutnya. Pada awal Jun 2002, seramai 8 artis dan penerbit antaranya George Pudon, Hain Jasli, Francis Landong, Hyelarry, Ronney Sigoh, LP dan beberapa yang lain membuat pertemuan susulan di Bilik Mesyuarat Hotel Hyatt Kota Kinabalu. Pada pertemuan itu, mereka telah menyenaraikan ahli jawatankuasa (AJK) Penaja persatuan dengan melantik Francis Landong (Presiden), Hyelarry (Timbalan Presiden) manakala LP pula dilantik sebagai Setiausaha Sementara merangkap AJK Siar Raya dan George Pudon sebagai Bendahari.

AJK PERTISA Sesi 2015/2016
AJK PERTISA Sesi 2015/2016
Nama 'PERTISA' singkatan bagi 'Persatuan Artis Tempatan Sabah' juga telah dipersetujui sebulat suara ketika itu yang mana akan menjadi naungan kepada semua artis tempatan dari semua kaum yang ada di negeri ini. Diputuskan juga bahawa keanggotaan PERTISA tidak terhad kepada penyanyi sehaja sebaliknya turut membabitkan pemuzik, pencipta dan penggubah lagu, penulis lirik, pelakon, penari, juruhebah radio, penerbit dan mereka yang tergolong di dalam kategori artis.

Pada pertemuan itu, AJK Penaja itu telah mengambil keputusan untuk meguar-uarkan perjumpaan dengan semua artis dari seluruh negeri dalam satu perjumpaan khas. Jabatan Penyiaran Malaysia Kawasan Sabah (RTM) Kota Kinabalu dan akhbar New Sabah Times telah bekerjasama mengumumkan jemputan pertemuan itu yang diadakan pada penghujung Jun 2002 di Bilik Mesyuarat TNGC di Jalan Bundusan, Penampang, dihadiri lebih 60 artis dari seluruh negeri.

Berikutan sambutan menggalakkan itu juga, beberapa keputusan telah dipersetujui termasuk mengisi kekosongan-kekosongan jawatan AJK tertinggi dan biro-biro terlibat di mana senarai yang dipersetujui itu juga dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Sabah (ROS) untuk diluluskan. Satu lagi pertemuan diadakan pada Ogos 2002, di Bilik Mesyuarat Hongkod Koisaan (KDCA) Penampang, dimana kehadiran melebihi seratus orang yang seterusnya menganggoitai PERTISA. Pertemuan itu juga antara yang bersejarah kerana ketika itu, Pengarah Muzium Negeri Sabah Datuk Joseph P. Guntavid, telah menyerahkan borang keahlian beliau seterusnya menerima tugas sebagai Penaung PERTISA.

Sekalung Penghargaan Kepada Penaung PERTISA
Sekalung Penghargaan Kepada Penaung PERTISA
Hasil usaha gigih dan sokongan berterusan ahli-ahli persatuan, pada September 2003 berita gembira diterima bahawa pendaftaran PERTISA diluluskan oleh ROS dan majlis ringkas penerimaan sijil telah diwakili Timbalan Presiden pada masa itu, Hyelarry Sembeh pada Oktober 2003. Pada 6 Disember 2003, majlis gilang-gemilang pelancaran PERTISA telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Bernard Dompok (kini Tan Sri) di Berjaya Palace Hotel, Kota Kinabalu sekaligus merasmikan Mesyuarat Agung pertama PERTISA. 

Sejarah PERTISA
Oleh: Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA)
Hak cipta terpelihara ©
Penggunaan artikel di atas telah mendapat kebenaran daripada Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA). Semua aspek berkenaan artikel ini adalah hak cipta terpelihara kecuali dinyatakan sebaliknya. Tiada mana-mana bahagian artikel ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada pemilik asal artikel berkenaan.


Sumber:
1. Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA)


Labels: Hiburan Tempatan

Thanks for reading Peneraju Kepimpinan PERTISA Sesi 2017/2018. Please share...!

Post Comment

0 Comment for "Peneraju Kepimpinan PERTISA Sesi 2017/2018"

Terima kasih kerana sudi membaca blog ini. Dipersilakan untuk memberikan ulasan anda mengenai entri ini. Sekian.

Featured post

Belajar Buat Blog Dengan Efektif

..."Saya tidak mempunyai kerja tetap, tidak juga berpelajaran tinggi namun, dengan blog saya boleh menyara keperluan harian diri dan k...

Back To Top