Hiburan Sabah

HSabah | Hiburan Sabah | Sabah Hiburan | Industri Muzik Sabah | Industri Hiburan Sabah | Lagu Sabah | Tempatan Sabah | Muzik Sabah

Jack Situn Berhasrat Memperjuang Hak Artis Tempatan Sabah

Hiburansabah.com sekali berkesempatan untuk berkongsi cerita mengenai seorang artis yang tidak asing lagi dalam industri hiburan dan muzik Sabah. Artis yang dimaksudkan ialah Jack Situn. Jack Situn yang juga dikenali dengan panggilan Jaikol berasal dari Ranau, Sabah telah mulai berkecimpung dalam arena seni suara sejak daripada bangku sekolah lagi. Minat menyanyi bermula sewaktu Jack masih kanak-kanak iaitu pada tahun 1980an kerana selalu mendengar abangnya, mendiang Julius menyanyi di majlis-majlis kesyukuran dan keramaian. Mendiang Julius lah yang menjadi ilham buat Jack.

Artis Jack Situn
Artis Jack Situn
Jack pada mulanya seorang yang pemalu tetapi abangnya Markos selalu memberinya galakan, sokongan dan telah membantu beliau untuk meningkatkan kepercayaan diri (self-confidence), memperbaiki keterampilan dan persembahannya. Pada masa itu juga, industri muzik tempatan sedang mengalami pembaharuan dan pemodenan yang pesat dengan munculnya beberapa artis terkenal seperti John Gaisah, Justin Lusah dan Ambrose Mudi yang secara langsung memberi semangat kepada beliau untuk menceburkan diri dalam arena seni suara walaupun secara sampingan.

Pada tahun 1999 Jack Situn telah melanjutkan pelajarannya di United Kingdom dalam jurusan undang-undang dan berjaya memperoleh Sarjana Muda LLB (Kelas Pertama), Sarjana LLM (Kepujian), Kursus Vokasional Guaman (BVC) dan seterusnya diterima masuk sebagai peguam bela dan peguamcara di Majlis Peguam England dan Wales melalui Gray's Inn London pada tahun 2011.

Beliau kembali ke tanah air pada tahun 2013 dan selepas menamatkan latihan dalam kamar dengan sebuah firma, beliau diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Ditanya siapa idolanya dalam industri tempatan Sabah, "Walaupun saya meminati artis-artis tempatan lain, namun, idola saya tidak lain dan tidak bukan melainkan mendiang Datuk John Gaisah. Mendiang Datuk John mempunyai mutu suara yang tiada tolok bandingannya zaman itu. Saya juga menghormati malah mengkagumi artis-artis yang muncul pada tahun 1990an seperti Francis Landong dan George Lian. Bagi artis luar negara pula, idola saya ialah Tom Jones. Biasanya saya selalu menyanyikan beberapa lagunya ketika berkaraoke," katanya.

Pencapaian 

Jack Situn pernah memenangi beberapa pertandingan bakat nyanyian dan karaoke di Malaysia dan United Kingdom. Antara penyertaan beliau dalam pertandingan seni suara adalah seperti berikut;
  • 1999 : Juara Pertandingan Karaoke, Express & Star Pub, Wolverhampton, United Kingdom 
  • 1996 : Naib Juara Karaoke Terbuka Royal Sabah Turf Club, Kota Kinabalu
  • 1993 : Juara Bakat Yayasan Sabah, Kota Kinabalu
  • 1988 : Naib Juara Bakat Yayasan Sabah, Kota Kinabalu
  • 1978 : Ketiga Bakat Maktab Sabah, Kota Kinabalu
"Setakat ini, saya belum lagi menerima apa-apa anugerah sebagai penyanyi. Maklumlah, walaupun minat dan semangat menyanyi sentiasa berkobar-kobar, saya juga mempunyai komitmen lain kerana dahulunya saya bertugas sebagai pegawai kerajaan dan kini bertugas sebagai peguam dengan sebuah firma di Kota Kinabalu, disamping, bertugas sebagai pensyarah sambilan dengan sebuah kolej swasta. Disamping itu, saya juga sering membuat persembahan di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkhawinan untuk menghiburkan para tetamu dan peminat. Itu anugerah tidak penting bah kalau saya, yang penting para peminat menyukai dan meminati lagu saya," katanya sambil bergurau.

Artis Tempatan Sabah Jack Situn
Artis Tempatan Sabah Jack Situn


Single dan Album

Pada tahun 1997, beliau telah merakam album sulungnya di bawah Moe's Music Production, Kota Kinabalu. Lagu-lagu daripada album sulung ini kebanyakannya digubah oleh Jack sendiri. Kesemua trek muzik album ini disusun oleh En. Marcellus Simon, seorang pemuzik yang tidak asing lagi kalangan para artis tempatan.

Beliau kemudiannya berehat daripada kerjayanya untuk menyiapkan album keduanya yang bertajuk Sunsulit Do Ranahon yang telah dilancarkan pada Mei 2016 dengan bantuan artis tempatan iaitu En. Tasius John Jinuli, seorang artis veteran dari Tambunan dan Cik Jiliah Situn, adik kepada Jack sendiri. Album kedua ini mengandungi 14 lagu kesemuanya, 12 lagu digubah oleh Jack sendiri dan selebihnya oleh En. Tasius.

Terkini, Jack sedang menyiapkan MTV Karaoke bagi beberapa lagu hit-nya seperti Lelaki Sabah dan Sunsulit Do Ranahon dengan sebuah studio tempatan. Disamping itu, beliau sedang mengubah beberapa lagu untuk album seterusnya. Beliau juga akan menterjemahkan beberapa lagu Dusun dalam album keduanya kepada Bahasa Melayu untuk diselitkan di dalam album seterusnya.

Menurut Jack, maklumbalas yang diterima daripada peminat yang telah membeli membeli dan mendengar albumnya, ramai yang lebih gemar mendengar lagu-lagu seperti Sunsulit Do Ranahon dan Lelaki Sabah. Kedua-dua lagu ini sering dimainkan oleh beberapa stesen radio di Kota Kinabalu.

Harapan

"Saya berharap agar industri muzik tempatan akan bertambah maju dan dapat diterima oleh masyarakat lain bukan di seluruh Malaysia sahaja bahkan negara-negara jiran di rantau ini. Saya juga berharap agar artis tempatan akan terus mendapat sokongan daripada penyampai-penyampai radio dan stesen-stesen radio di seluruh Malaysia untuk memainkan lagu-lagu kami. Saya juga berharap agara artis tempatan akan mendapat sokongan atau bantuan yang lebih menggalakkan dalam pelbagai aspek daripada badan-badan kerajaan atau pegawai kerajaan yang berkenaan untuk mempromosikan artis tempatan Sabah.

"Sebagai seorang peguam, saya juga berhasrat untuk memperjuang hak-hak serta menangani masalah-masalah yang selalu dilalui dan dialami oleh kalangan artis tempatan. Hasrat ini mungkin boleh direalisasikan melalui Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA). Saya akan cuba menghubungi PERTISA untuk perkara ini," katanya.

Sekalung Penghargaan

"Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga khususnya kepada para peminat walau di mana saja anda berada kerana meminati lagu-lagu dalam album saya. Dengan rendah hati, saya ingin memohon maaf jika sekiranya terdapat kekurangan terhadap lagu-lagu dalam album-album tersebut. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyampai radio atas sokongan mereka kerana memainkan lagu-lagu daripada album saya di stesen-stesen radio tempatan Sabah.

Akhir sekali, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada En. Jinus Juis daripada hiburansabah.com kerana menghubungi saya dan seterusnya membuat artikel mengenai saya.

Sumber:
1. Temu bual bersama artis Jack Situn.



Labels: Hiburan Tempatan

Thanks for reading Jack Situn Berhasrat Memperjuang Hak Artis Tempatan Sabah. Please share...!

Post Comment

0 Comment for "Jack Situn Berhasrat Memperjuang Hak Artis Tempatan Sabah"

Terima kasih kerana sudi membaca blog ini. Dipersilakan untuk memberikan ulasan anda mengenai entri ini. Sekian.

Featured post

Belajar Buat Blog Dengan Efektif

..."Saya tidak mempunyai kerja tetap, tidak juga berpelajaran tinggi namun, dengan blog saya boleh menyara keperluan harian diri dan k...

Back To Top