Hiburan Sabah

Hiburan Sabah

HSabah | Hiburan Sabah | Sabah Hiburan | Industri Muzik Sabah | Industri Hiburan Sabah | Lagu Sabah | Tempatan Sabah | Muzik Sabah

Hiburan Sabah

Connect With us

Daniel tampil dengan single baharu, Janda Sabahan

Selepas single Tilombuso Koposion yang dilancarkan pada Januari 2018, Daniel Ronsoi sekali lagi tampil dengan single terbarunya yang diberi judul Janda Sabahan. Lagu yang semakin hits ini merupakan nukilan oleh seorang komposer Donny Reyn yang juga merupakan artis Sabah, terkenal dengan singelnya bertajuk Cinta Sabun Mandi.

Lagu Janda Sabahan ini umumnya digambarkan tentang seorang wanita yang anggun, menarik, pandai menjaga penampilan dan berkebolehan, sungguhpun ia berstatus janda. Menariknya, walaupun wanita tersebut berstatus janda namun, itu tidak menghalang keinginan kepada si pencerita untuk tertawan dan memilikinya.

Daniel Ronsoi ~ Janda Sabahan
Daniel Ronsoi ~ Janda Sabahan

Daniel Ronsoi atau yang mesra dengan panggilan Daniel berbesar hati dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat lagu Janda Sabahan ini.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peminat lagu "Janda Sabahan" ini. Terima kasih kepada yang telah dan sudi like serta share lagu ini melalui pelbagai aplikasi khususnya dalam Facebook dan whatsapp. Tanpa sokongan anda, lagu ini tidak akan pergi jauh. Terima kasih juga kepada komposer Donny Reyn kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa lagu ini. Tidak dilupakan saudara Herris Yutui, selaku music arrangement melalui TUNi Microstudio kerana terhasilnya susunan muzik yang begitu mantap sekali," katanya ketika ditemuramah oleh krew hiburansabah.com

Pelancaran Single Janda Sabahan

Hiburansabah.com difahamkan pelancaran lagu Janda Sabahan ini dijadualkan pada 19 Julai 2018 (Khamis), bermula jam 9:00 malam. Lokasi pelancaran adalah di Karaoke & Lounge, Mile 7, Inanam.

Tentatif Pelancaran

  1. Ucapan aluan En. Justinus, pemilik Karaoke & Lounge, Mile 7, Inanam.
  2. Ucapan aluan oleh artis yang diraih En. Daniel Ronsoi (artis Daniel)
  3. Ucapan aluan oleh komposer lagu En. Donney Reyn
  4. Pelancaran lagu, nyanyian lagu Janda Sabahan ~ Daniel Ronsoi
  5. Sesi fotografi
Peminat dan penyokong arena hiburan dan muzik tempatan Sabah yang masih belum mendengar preview lagu Janda Sabahan ini boleh mendengarkannya melalui video ini:-

Penyanyi : Daniel Ronsoi
Lirik & Lagu : Donny Reyn

Pengalaman dan Penglibatan

Artis kelahiran dari Kampung Lokub, Kiulu Tamparuli, Sabah ini sememangnya telah melibatkan diri dalam bakat nyanyian sejak daripada sekolah menengah lagi. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di Kolej namun, minatnya dalam dunia nyanyian tidak pernah pudar malah dikembangkan dengan menyertai banyak pertandingan nyanyian terutamanya dalam pertandingan Sugadoi Kaamatan. Daniel merupakan seorang guru muzik yang sekarang ini bertugas di Sekolah Rendah Poring, Tuaran. Disamping pengalamannya dalam mencipta lagu, beliau juga pernah mengikuti banyak kursus termasuk kursus kepengadilan juri nyanyian yang dianjurkan oleh Persatuan Artis Negeri Sabah (PERTISA).

Pencapaian

  1. Johan Pertandingan Sugandoi peringkat daerah Lahad Datu (LD) pada tahun 2004, seterusnya mewakili daerah LD ke peringkat negeri (KDCA).
  2. Bontugan Sinding Carta Lagu Dusun Sabah VFM pada tahun 2010 melalui lagunya yang bertajuk "Langadon Dika Koupusan"

Album / Single

  1. Album Kompilasi yang disterbitkan pada tahun 2008.
  2. Menerbitkan album solo pada tahun 2010, memuatkan sebanyak sepuluh (10) lagu dalam album tersebut. Lagu bertajuk Langadon Dika Koupusan sering dimainkan (on aired) di stesen radio KupiKupiFM, dan tamu Tamparuli. 
  3. Single Tilombuson Koposion (dilancarkan pada Januari 2018). Lirik dan lagu ciptaan sendiri oleh Daniel Ronsoi 
  4. Single baharu Janda Sabahan (akan dilancarkan pada 19hb Julai 2018). Lirik & lagu oleh Donny Reyn.

Sumber:
1. Artis Daniel Ronsoi - single Janda Sabahan

Pentas Akhir Carta GeminiFM dan Konsert Amal Sugandoi Negeri 2018

Stesen radio online GeminiFM sekali lagi bakal menemui peminatnya melalui pertandingan akhir Carta Lagu Gemini yang dijadualkan pada 23hb Jun (Sabtu) ini, jam 7:00 malam dan bertempat di Dewan Paroki Toboh, Tambunan.

Bahang Pentas Akhir Carta Lagu Gemini semakin hangat terasa. Para peminat bukan sahaja disajikan dengan pertandingan ini, malah pengunjung juga bakal disemarakkan lagi dengan Konsert Amal Sugandoi Kaamatan Negeri Sabah 2018 bagi mengumpul dana untuk rumah kanak-kanak Bondulu (anak yatim) oleh peserta akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2018. Konsert amal ini merupakan kesinambungan aktiviti selepas pertandingan akhir yang diilhamkan oleh Pengerusi Sugandoi Kaamatan Negeri Sabah sendiri iaitu gundohing Evaristus Gungkit. Namun, aktiviti konsert amal ini tidak dapat dipastikan sama ada akan diteruskan pada masa-masa akan datang atau sebaliknya.

Pentas Akhir Carta GeminiFM dan Konsert Amal Sugandoi Negeri 2018
Pentas Akhir Carta GeminiFM dan Konsert Amal Sugandoi Negeri 2018

Pentas Akhir Carta GeminiFM dan Konsert Amal Sugandoi Negeri 2018 merupakan anjuran bersama oleh Radio Online GeminiFM dengan kerja sama Jawatankuasa Sugandoi Kaamatan Negeri Sabah 2018.

Finalis yang akan menjayakan Konsert Amal Sugandoi Kaamatan Negeri Sabah 2018 antaranya adalah Fransisca, Evana, Gretchene, Zarinie, Ryna, Terence Woritus, Mackdowell, Michelle dan Melinda.

Sementara itu, finalis Carta Lagu GeminiFM Musim Ke-3 (2017) adalah Raul Gonzales, Geo Tj, Olik, Rainol Tunggal dan Raizi Rezh. Manakala finalis Carta Lagu Promo GeminiFM 2017 adalah Jane Labit, Norshidah Egohalik, Francis Pudon, Rynoo, Heston Jr, Rusdiee Shah, Frankie Masanggon dan Jeffrin Ambun.

Mengenai Radio Online GeminiFM

Radio online GeminiFM telah ditubuhkan pada 17 Julai 2016. Stesen radion online GeminiFM ini diasaskan oleh seorang belia iaitu Mohd Shah atau lebih dikenali dengan Dj Black yang berasal dari Kundasang, Sabah.

GeminiFM turut dibantu oleh beberapa penyampai radio (Dj) yang lain antaranya Dj Red (Papar); Dj Wendy (Tambunan); Dj Reh (Tuaran); Dj Ryan (Tamparuli); Dj Dediy (Sulawesi Indonesia) dan turut dibantu oleh admin dan crew GeminiFM dari pelbagai tempat.

Selain mengadakan aktiviti seperti pertandingan carta lagu, carta promo lagu, carta smule dan carta bakat terpendam, GeminiFM juga membantu mempromosi eco pelancongan yang ada di Sabah, membantu mempromosi produk dan bisnes tempatan serta mempromosi album artis-artis tempatan dan banyak lagi.

Peminat atau pendengar boleh mendengar radio online melalui aplikasi GeminiFM yang boleh dimuat-turun melalui Playstore.

Maklumat Lanjut 

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Pentas Akhir Carta GeminiFM dan Konsert Amal Sugandoi Negeri Sabah 2018 anda boleh menghubungi:-

  1. Evaristus Gungkit (0168173159)
  2. Leonard Ingging (0138852237) 
  3. Gilbert Gondungan (0138713372) 
  4. Martha Ginun (0165838229)
  5. Maureen Inoh (01684384330)
  6. Wendy Rudolf (0128431017)
  7. Helen Gurini (0109480944) 
  8. Christoper Podtung-011166045043

Sumber:
1. Puan Wendy Rudolf (Dj Wendy), Stesen Radio Online GeminiFM

Pesta Kaamatan kampung Malawa 2018 menjanjikan kemeriahan!

Kehangatan Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) masih dapat dirasai memandangkan masyarakat Sabah khususnya kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) seluruh pelusuk Sabah masih meraih pesta yang cukup bermakna ini. Perayaan pesta ini merupakan amalan tradisi turun-temurun oleh kaum KDM dan sudah diamalkan sejak zaman berzaman lagi. Kehangatan perayaan yang sememangnya memainkan peranan penting dalam mengukuhkan lagi perpaduan ini kekal berkobar sampai ke hari ini (bulan Jun). Ia termasuklah penganjuran Pesta Kaamatan peringkat kampung Malawa, Telipok, Kota Kinabalu Sabah yang dijadualkan pada 16hb Jun (Sabtu) ini.

Credit picture to Aron Kenero (picture edited by Jinus Juis hiburansabah.com)
Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kaamatan Kg. Malawa
Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kaamatan Kampung Malawa

Sama seperti penganjuran Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan KDCA Penampang baru-baru ini, penganjuran Pesta Kaamatan peringkat kampung Malawa, Telipok, Kota Kinabalu Sabah anjuran Kelab Belia Melawa (PEBEMA) juga bakal dihangatkan dengan pelbagai aktiviti termasuklah acara kemuncak Unduk Ngadau Malawa 2018 yang dijadualkan pada 16hb Jun (Sabtu).

Credit picture to Aron Kenero
Peserta Akhir Unduk Ngadau Malawa 2018
Peserta Akhir Unduk Ngadau Malawa 2018

Pertandingan Sugandoi telah memulakan saingannya dalam peringkat semi final pada 9hb Jun (Sabtu) yang lalu. Sementara itu, pertandingan akhir Sugandoi Malawa dijadualkan pada 15hb Jun (Jumaat) ini. Selain pelaksanaan Unduk Ngadau dan Sugandoi yang merupakan antara pengisian aktiviti yang cukup sinonim dengan perayaan Kaamatan ini, para pengunjung juga bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti lain antaranya acara sukan tradisi, gerai lot jualan, cabutan tiket bertuah dan banyak lagi.

Gundohing Julius Taliban yang merupakan Ketua Pelaksana Kaamatan kampung Malawa, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) berkata Pesta Kaamatan Malawa pada tahun 2018 akan menjanjikan kemeriahan kepada para pengunjung khususnya penduduk kampung Malawa sendiri.

"Pelaksanaan Pesta Kaamatan Malawa pada tahun 2018 ini menjanjikan kemeriahan kepada para pengunjung khususnya penduduk kampung Malawa sendiri. Selain menyaksikan pencarian Unduk Ngadau dan pertandingan akhir Sugandoi Malawa 2018, para pengunjung bakal membawa pulang hadiah cabutan tiket bertuah yang cukup lumayan. Kami menjanjikan pengalaman terbaik jika anda bertandang ke Pesta Kaamatan Malawa 2018," katanya.

Credit picture to Aron Kenero
Peserta Akhir Sugandoi Malawa 2018
Peserta Akhir Sugandoi Malawa 2018


Sejarah Kg. Malawa, Telipok, Kota Kinabalu, Sabah

Kampung Malawa telah wujud sejak penjajahan British di Borneo. Pada awal kewujudan, kampung ini hanya diterokai oleh beberapa ahli keluarga dan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat rapat. Sebelum kampung ini diterokai, keadaan kawasan kampung merupakan hutan tropika yang diliputi dengan pokok-pokok kayu keras. 

Nama kampung Malawa bermula sewaktu keluarga tersebut melakukan kerja "Mitabang" (gotong-royong) untuk membersihkan hutan bagi tujuan bercucuk tanam. Semasa keja mitabang dijalankan, mereka menjumpai banyak sarang labah-laah di merata tempat di kawasan tersebut. Dalam bahasa Kadazandusun, sarang labah-labah dipanggil "Tongkulalawa". Oleh kerana banyak terdapat Tongkulalawa di situ, maka penduduk tempatan kemudiannya berpakat dan bersetuju untuk menamakan kawasan ini sebagai "Malawa".

Credit picture to Aron Kenero
Gundohing Julius Taliban, Pengerusi JKKK Kg. Malawa

Keluasan kampung Malawa pada masa dahulu adalah lebih kurang 7 batu persegi yang merangkumi sempadan Kg. Lokub hingga sempadan Kg. Salut. Jumlah penduduk kampung ini pada awalnya hanya 180 orang merangkumi 30 buah rumah, namun, sekarang bilangang penduduk telah meningkat kepada lebih 1000 orang. Keseluruhanya penduduk asal adalah berbangsa Kadazandusun, ia dipanggil sebagai kaum "Dusun" pada ketika itu. Sementara itu, pekerjaan penduduk Kg. Malawa pada masa dahulu adalah bertani iaitu menanam padi sawah dan huna serta menoreh getah. Kg. Malawa mengecapi arus pembangunan moden apabila Sabah (dahulu dipanggil sebagai Borneo Utara)mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia pada awal 1960an.

Pelbagai jenis kemudahan asas seperti jalan raya, sekolah, balai raya, bekalan elektrik, pusat kesihatan bergerak, paip graviti dan sebagainya telah disediakan oleh kerajaan. Pada tahun 1995, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah datang ke kawasan Kg. Malawa untuk melakukan upacara pecah tanah projek KKOP (Kota Kinabalu Industrial Park). Akhirnya Kg. Malawa pada masa ini tidak lagi kelihatan seperti dahulu kala. Tanah perkampungan dan tanah persendirian telah diambil oleh pihak kerajaan untuk pembangunan projek-projek KKIP. Penduduk kampung dianggarkan sebanyak 80% telah dipindahkan ke Penempatan V19 yang disediakan oleh pihak KKIP. Penduduk Kg. Malawa telah mencapai perubahan daripada segi corak hidup, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Sektor perkilangan telah memberi banyak peluang pekerjaan kepada warga Kg. Malawa serta penduduk setempat. Kini, Kg. Malawa terbahagi kepada 7 zon iaitu Bundu, Mogiding, Malawa V19 Fasa 1, Malawa V19 Fasa 2, Kampung Baru, Salong dan Kodoingan.


Sumber:
1. Rudy Barnabas, Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kaamatan Kanpung Malawa 2018

Hosiani (Keewon) dinobat ratu Unduk Ngadau 2018

PENAMPANG: Kemuncak pertandingan Unduk Ngadau melabuhkan tirainya apabila Hosiani James Jaimis telah dinobatkan sebagai ratu Unduk Ngadau sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri 2018 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang pada 31 Mei lalu.

Semasa sesi soal jawab tersebut, pelakon dan penyampai televisyen ini memikat penonton dengan keupayaannya untuk bercakap dalam bahasa Dusun dengan lancar.

Bercakap tentang tema Kaamatan tahun ini, Kebudayaan Asas Perpaduan dan Persaudaraan, beliau berkata: "Melalui pesta Kaamatan, masyarakat daripada pelbagai etnik dari daerah-daerah lain akan berkumpul untuk merayakan festival ini. Inilah merupakan salah satu cara kita dapat mencapai asas kebudayaan perpaduan dan kekeluargaan," katanya.

Hosiani (Keewon) dinobat ratu Unduk Ngadau 2018
Hosiani (Keewon) dinobat ratu Unduk Ngadau 2018

Hosiani atau lebih mesra dengan panggilan Keewon berjaya memikat hati para juri dengan menewaskan seramai 45 peserta Unduk Ngadau yang lain sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM86,050 termasuk hadiah berupa wang tunai RM12,000 yang ditaja oleh Datuk Peter Anthony dan Datin Linda Hanif serta biasiswa pendidikan dari North Borneo University College dan Asian Tourism International College, produk kecantikan dan tiket pergi dan balik ke Gua Mulu di Sarawak.

Keewon juga memenangi kereta Subaru.

Keewon yang mewakili daerah Inanam dimahkotai oleh Kerina Mah iaitu juara Unduk Ngadau 2017. Turut menyampaikan hadiah Datin Seri Dr Jaina Sintian, isteri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Jenifer Lasimbang, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri 2018.

Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Sherrylyn Jane Rannytho peserta Unduk Ngadau yang mewakili daerah Penampang. Beliau membawa pulang hadiah berjumlah RM22,900 termasuk wang tunai sebanyak RM8,000.

Manakala, tempat ketiga pula dimenangi oleh peserta yang mewakili daerah Putatan iaitu Vanessa Audrey Gilbert yang sekali gus membawa pulang hadiah berjumlah RM14,500.

Pemenang tempat ke-4, ke-5, ke-6 dan ke-7 adalah Madeline Sophie Binidip (Johor), Puang Hui Ling@Arin Puang (Ranau), Mary Grace Lojuki (DBKK) dan Tanessia Shanelle Mojitoh (Kepayan).

Unduk Ngadau adalah salah satu acara penting dalam perayaan Kaamatan, yang merayakan Huminodun, seorang gadis yang dikorbankan oleh bapanya, Kinoingan, untuk menyelamatkan rakyat dari kelaparan dan membawa hasil tuaian yang berlimpah.

Unduk ngadau yang baru dinobatkan dijangka menjalankan kerja sosial dan amal, serta mempromosikan pelancongan Sabah selama setahun.


Sumber:
1. Actress Hosiani is the new Unduk Ngadau (NSTTV)
2. Hosiani dinobat Ratu Unduk Ngadau 2018
3. Hosiani James dinobatkan ratu Unduk Ngadau 2018
4. Hosiani crowned as 2018 Unduk Ngadau

Juri Sugandoi Kaamatan dikecam netizen

Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan, Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun telah melabuhkan tirainya sejak 3 hari yang lepas. Sungguhpun keputusan muktamad telah diumumkan sebaik sahaja kesemua peserta selesai membuat persembahan pada 26 Mei lalu (Sabtu), namun, keputusan tersebut masih dipertikaikan. Perdebatan dan pendapat sesama netizen masih hangat diperdebatkan sehingga kini malah, isu penjurian kian dipersoalkan. 

Juri Sugandoi Kaamatan dikecam netizen
Juri Sugandoi Kaamatan dikecam netizen

Isu ini mula menjadi bualan ketika netizen menyaksikan pertandingan akhir Sugandoi 2018 melalui facebook (page Millenium Video Production) dan ia lebih hangat diperkat tatkala video perbandingan nyanyian persembahan diantara Fransisca Juingki (Johan Sugandoi Kaamatan 2018) dan Zarinie Shakira binti Zainal (peserta khir) yang dimuatnaik oleh seorang pengguna melalui media sosial facebook. Malah, isu penjurian ini sebenarnya hangat diperkata sejak pertandingan suku akhir lagi iaitu memilih peserta Top 20 yang akan bertanding dalam peringkat separuh akhir. Netizen menafikan dan berpendapat ada beberapa peserta lain yang jauh lebih hebat berbanding Melinda Painol yang merupakan peserta mewakili Kota Belud.

Sebaik sahaja pertandingan Sugandoi ini berakhir, banyak juri yang lahir bak pepatah mengatakan umpama "cendawan tumbuh selepas hujan". Ramai netizen mengambil bahagian untuk berhujah dan mengutarakan pendapat masing-masing sehingga ada yang menafikan dan mengalahkan pendapat juri -juri profesional yang diamanahkan pada malam pertandingan itu.  

Mengimbas kembali detik sejarah pertandingan akhri Sugandoi peringkat negeri Sabah, Fransisca Juingki telah dinobatkan sabagai johan dalam pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan 2018. Naib Johan pula dimenangi oleh Evana Hera yang mewakili daerah Ranau. Manakala tempat ketiga disandang oleh Gretchene Quirina, wakil daerah Inanam. 

Sementara itu, juri pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan, Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Songkotoun 2018 diketuai oleh gundohing George Motuyon. Beliau turut dibantu oleh dua juri profesional lain iaitu Encik Adeson Matthew Mitty Gabu dan Puan Betsy Michael.

Sistem penjurian Sugandoi ini sememangnya adalah bersifat subjektif. Banyak faktor yang perlu dipertimbang dalam menentukan markah kepada peserta dan ia bukannya dinilai berdasarkan kualiti vokal si penyanyi semata-mata. Oleh itu, juri profesional punya pendapat tersendiri untuk sebulat suara memutuskan Fransisca Juingki dinobatkan sebagai johan. 

Sehubungan itu, hiburansabah.com berusaha untuk menghubungi Pengerusi Pelaksana Sugandoi Peringkat Negeri Sabah 2018 iaitu gundohing Evaristus Gungkit bagi mendapatkan penjelasan. Apa penjelasan yang bakal diberikan tersebut sama-samalah kita nantikan dengan penuh sabar. 

Segala perkembangan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.


Sumber:
1. Facebook.

Featured post

Mikrofon Kondenser mampu milik (Ansuran Bulanan RM25.70)

Minat menyanyi? Sering menyanyi dalam aplikasi Smule dan YouTube? Atau suka membuat Live melalui aplikasi Instagram mahupun Facebook? Anda...

Back To Top